𝐒𝐚𝐬𝐭𝐞𝐫𝐚𝐰𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚, 𝐀. 𝐒𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐚𝐢𝐝


A. Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad Muhammad Said merupakan satu sosok yang tidak asing lagi buat kita sebagai rakyat Malaysia. Beliau ialah tokoh Sasterawan Negara dan nama besar yang dianggap sebagai ikon dalam kesusasteraan Malaysia. A.Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau ialah pengarang yang sangat mencintai sastera dan bahasa Melayu dan kecintaan itu terserlah dalam karya-karyanya. Beliau seorang pengarang yang serba boleh dan telah menghasilkan karya sastera semenjak tahun 1950-an dalam genre cerpen, sajak, novel dewasa dan kanak-kanak, drama, esei kritikan, autobiografi dan warkah.

Cereka beliau akrab dan menjadi latar kepada perkembangan korpus kesusasteraan tanah air dekad demi dekad. A. Samad Said mengarang karyanya berdasarkan pengalaman sendiri dan pengetahuannya yang diperoleh daripada pembacaan yang luas. Pengalamannya yang membesar di kota kosmopolitan Singapura telah memberikan warna tersendiri kepada karya-karyanya.


A. Samad Said paling menonjol dalam genre novel dan karyanya novel Salina (1961) merupakan karyanya yang paling terkenal dan banyak dibaca oleh pengkaji dan peminat sastera. Karya besar yang lain dihasilkan ialah Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Benih Semalu, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Sepanjang penglibatannya sebagai penulis A. Samad Said telah menghasilkan 11 buah novel dewasa, lapan buah novel remaja,  55 buah cerpen, empat buah buku drama, lapan buah kumpulan puisi dan tiga kumpulan esei.

Sepanjang karier penulisan, beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Malaysia. Antara anugerah yang diterima ialah Anugerah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sastera Negara (1985) dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999). Oleh itu, A. Samad Said merupakan sasterawan yang paling saya kagumi kerana beliau mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri yang boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi bagi semua orang termasuklah generasi muda pada masa ini.

Comments