𝐊𝐫𝐢𝐭𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐅𝐢𝐥𝐞𝐦: "𝐀𝐢𝐫 𝐌𝐚𝐭𝐚 𝐃𝐢 𝐇𝐮𝐣𝐮𝐧𝐠 𝐒𝐚𝐣𝐚𝐝𝐚𝐡"

 


    Sudah lama rasanya saya tidak menitiskan air mata apabila menonton filem di pawagam. Tidak banyak filem yang merentap tangkai hati saya. Filem "Air Mata Di Ujung Sejadah" membuatkan ramai peonton menangis tersedu-sedu tanpa henti apabila menonton filem Indonesia ini. Filem ini mengisahkan tentang  pasang surut kehidupan Aqila (lakonan Titi kamal) yang merupakan seorang anak orang kaya yang kahwin lari selepas ibunnya tidak sukakan pilihan hatinya, seorang mahasiswa yang hidupnya miskin. Namun begitu, Di saat bahagia menanti kelahiran anak sulung mereka, Aqilla kehilangan suaminya yang meninggal dunia secara mendadak setelah kemalangan motosikal. Cahaya mata Aqilla kemudian diserahkan kepada pasangan suami isteri, Arif (Fedi Nuril) dan Yumna (Citra Kirana), yang sudah lama menantikan peluang menimang cahaya mata tetapi belum sampai rezeki yang dinanti-nanti. Konflik terjadi apabila antara ibu kandung dengan ibu angkat berebut untuk menjaga Baskara.


    Semua pelakon dalam filem ini memberikan impak dari segi kawalan emosi dan penjiwaan watak dengan baik. Salah satunya adalah watak Aqilla yang hamil sembilan bulan dan terpisah tujuh tahun daripada anaknya yang disangka sudah meninggal dunia dan sedih melihat Yumna bersedih kerana segala pengorbanannya menjaga Baskara seakan-akan tidak membawa pada sebarang pengertian kerana budak itu perlu dipulangkan kepada ibu kandungnya agar Yumna dan Arif tidak terus dibelenggu rasa serba salah menjaga seseorang yang bukan hak miliknya sendiri. Filem ini sedikit sebanyak memberi peringatan kepada ibu bapa agar tidak memaksa keinginan kita terhadap anak kita yang mempunyai cita-cita dah harapan tersendiri. Sebagai ibu bapa, apa yang boleh kita lakukan adalah untuk menyokong dan memberi semangat kepada anak kita. 

    Filem ini juga membuktikan bahawa tidak kisahlah sama ada anda ibu bapa kandung atau bukan, cinta terhadap anak yang telah anda jaga itu tiada batas. Kasih sayang seorang ibu bapa angkat tidak banyak beza berbanding ibu bapa kandung. Kebahagiaan anak yang perlu diutamakan terlebih dahulu. Namun begitu, sebagai penonton yang beragama Islam, saya tidak setuju dengan kemesraan yang melampau yang dibawa oleh watak Arif dan Yumna. Ini kerana mereka sering berpelukan dan bersentuhan antara pelakon wanita dan lelaki yang tidak halal hubungannya. Perkara ini membuatkan saya segan untuk menonton babak yang terlalu mesra dan rasa pihak produksi perlu menapis dahulu babak berpelukan yang dibawa oleh seorang wanita berhijab.









Comments