𝐌𝐞𝐧𝐞𝐥𝐮𝐬𝐮𝐫𝐢 𝐊𝐚𝐫𝐲𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐀. 𝐒𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐚𝐢𝐝: 𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐀𝐋𝐈𝐑 𝐋𝐄𝐒𝐔
Sungai Mengalir Lesu menjadi buku bacaan yang paling saya suka yang ditulis oleh penulis sastera yang saya kagumi iaitu A. Samad Said. Novel tersebut sungguh meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya sebagai pembacanya. Sungai Mengalir Lesu ialah kisah zaman perang dunia kedua, di saat Jepun diambang kekalahan.
- A.Samad Said menggambarkan kehidupan pada zaman perang melalui novel ketiganya ini pada tahun 1967. Pengalaman menderita hidup pada zaman kekurangan makanan, perpecahan anggota keluarga sama ada mati atau ditangkap oleh Jepun, keruntuhan moral manusia akibat perang dilukiskan dalam novel ini yang berlatarkan tempat di sebuah kampung di tepi sungai yang mengalir lesu di Singapura.
- Latar tempatnya tidak banyak dan pengkisahan banyak berlaku di deretan rumah-rumah daif di tepi sebatang sungai yang airnya kotor dan najis. Sungai itu menjadi tempat buangan saki baki makanan dari gudang makanan yang dibina di hulu sungai itu.
- Watak novel dapat dikelompokkan kepada beberapa keluarga miskin iaitu keluarga Tuminah yang merupakan seorang janda muda yang kematian suami dan adiknya Dalim, remaja yang berumur 11 tahun, Mak Buruk yang suaminya telah ditangkap oleh Jepun, dua orang buruh Jawa yang melarat hidup mereka setelah ditinggalkan oleh Jepun di Singapura dan banyak lagi kisah.
- Dengan mengemukakan watak-watak dalam kelompok tertentu novel ini menjadi sebuah novel yang memaparkan kehidupan golongan masyarakat bawahan yang berjuang untuk hidup. Menerusi novel ini, jelas kelihatan bahawa bukanlah watak dan perwatakan yang menjadi subjek penulis A. Samad Said, tetapi pengalaman menderita hidup pada zaman perang itulah yang ditonjolkan. Sekali gus membuktikan bahawa penderitaan hidup pada zaman perang itu tidak mudah dikikis daripada ingatannya.
Novel Sungai Mengalir Lesu adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Novel ini dapat mengajar kita untuk berusaha gigih menentang penjajah demi mempertahankan tanah air walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk bertahan meneruskan kehidupan. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaysia pada zaman Perang Dunia Kedua.
Comments
Post a Comment